BANNER

Sabtu, 3 Disember 2011

GURU PEMBINA MODAL INSAN


Definisi
Merujuk kepada Kamus Dewan, modal diertikan sebagai kiasan sesuatu yang digunakan untuk mencapai atau mendapatkan sesuatu yang lain; manakala insan ialah perkataan Arab  bererti manusia. Maka, modal insan merupakan potensi, kemahiran atau tenaga manusia yang digunakan untuk mencapai matlamat pembangunan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara. 

Konsep Modal Insan
Mengikut Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, mencatatkan dalam usaha membangunkan modal insan, Kementerian Kerajaan Malaysia akan memberi tumpuan kepada sistem nilai seperti, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri murid. Di samping itu, usaha ini juga diharap melahirkan murid yang kompeten dalam sains dan berdaya kreatif serta kebolehan pasaran.
             
Di bawah usaha pembangunan modal insan, penekanan adalah ditumpukan dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual seperti ilmu sains, teknologi dan keusahawanan, pembudayaan, sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral seperti  yang ditegaskan di bawah   Wawasan 2020, dalam cabaran keempat, iaitu;
"Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan  dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur."

Di antara lima teras utama  yang digariskan di bawah Misi Nasional adalah teras 2 yang memberi penekanan tinggi ke atas pembangunan modal insan minda kelas pertama yang berupaya memberi sumbangan dalam usaha melonjak ke status negara maju menjelang tahun 2020. Melalui strategi khusus pembangunan modal insan ini, Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang bersatu padu, masyarakat yang mempunyai daya keyakinan yang tinggi, bertunjangkan nilai-nilai moral yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat  yang demokratis, liberal lagi bertolak- ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur, dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan diri yang jitu.

Transformasi Kurikulum Kebangsaan
Kementerian Pelajaran kini sedang giat melaksanakan transformasi kurikulum kebangsaan yang menuntut guru menyesuaikan diri dengan perubahan dalam sistem pembelajaran. Oleh itu, guru-guru perlu terlibat secara langsung dalam program pembangunan profesional anjuran pelbagai pihak dari semasa ke semasa termasuklah Kementerian Pelajaran sendiri, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat pelajaran Daerah, institusi , sekolah dan badan profesional yang diiktiraf. Bermula tahun 2011, PPSMI dimansuhkan dan diganti dengan dasar baru yang digubal iaitu MBMMBI,  di mana mata pelajaran Matematik dan Sains diajar semula dalam bahasa Melayu manakala penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran bagi bahasa Inggeris.

Transformasi kurikulum kebangsaan adalah berhubung kait dengan pembinaan modal insan negara yang mana tertanggung di atas bahu pendidik. Maksudnya, guru itu berinteraksi secara bertimbal balik dengan kelahiran insan yang berilmu, berkualiti dan berketrampilan dalam apa-apa bidang sekalipun demi pembangunan bangsa dan negara secara berkesinambungan mulai sekarang. Memang bertepatan apabila Kementerian Pelajaran memperketatkan syarat kemasukan calon-calon guru ke institut perguruan atau fakulti pendidikan di institusi pengajian tinggi awam. Rasionalnya, bakal pendidik mestilah  mencapai  keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Sejarah berlandaskan kepada kemampuan berbahasa dengan gramatis lagi murni dalam kedua-dua bahasa tersebut di samping celik sejarah.
           
Peranan Guru
Modal insan lebih bermakna dan signifikan berbanding dengan elemen-elemen yang lain seperti modal wang ringgit, bahan mentah, pentadbiran dan pengurusan dalam industri pengeluaran produk. Biasanya modal insan lebih dikenali sebagai kaum buruh, manifestasi daripada kelulusan yang rendah dan kemahiran mereka yang relatif tidak seberapa.  Dalam teknologi maklumat dan komunikasi masa kini, situasi buruh sedemikian tidak lagi sesuai dan relevan, malah mereka digalakkan meningkatkan ilmu pengetahuan, sekali gus berkemahiran dan berketrampilan berpadanan dengan aras ke piawaian yang telah ditetapkan. Dalam konteks ini, peranan guru amat mencabar untuk melahirkan insan yang berilmu serta berkemahiran sebagai modal bagi meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara dalam pelbagai cabang pekerjaan.

Sehubungan dengan itu, insan yang bergelar guru adalah melengkapi segala-galanya baik sebagai pendidik, pengasuh, pembimbing, penasihat, pencetus idea dan fikiran, penderma wang ringgit serta penyumbang tenaga dan masa. Guru juga merupakan ibu bapa kepada murid-murid di sekolah, pemimpin dan penggerak kelompok komuniti setempat, agama, bangsa dan negara. Guru persis sepohon kelapa yang tinggi menjulang dengan buah yang penuh di tandan, berguna dari pucuk hingga ke pangkal . Di dalam agama Islam turut mengangkat darjat guru pada kedudukan yang tinggi dan istimewa selepas ibu dan bapa malah mengajar penganutnya supaya memuliakan guru sebagaimana dalam Hadits Nabi SAW ada menyebutkan bahawa; "Tinta seorang ilmuwan (yang menjadi guru) adalah lebih berharga berbanding darah para syuhada". Selanjutnya Imam Al-Ghazali menukilkan dari perkataan para ulama yang menyatakan; 

"Pendidik merupakan pelita segala zaman, orang yang hidup semasa dengannya akan memperoleh pancaran cahaya keilmiahannya. Andai kata dunia tidak ada pendidik, nescaya manusia bertingkah laku seumpama haiwan, disebabkan adanya  ilmu, maka ianya berupaya menghindari manusia dari sifat kehaiwanan kepada sifat insaniah dan ilahiah".

Tugas hakiki guru adalah mendidik murid menjadi insan yang berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan negara. Guru masa lampau dalam suasana pembelajaran yang serba kekurangan dan tidak kondusif masih berupaya memikul tanggungjawab dengan penuh komited terhadap kewajipan mendidik sehingga melahirkan generasi masa kini yang cemerlang, hatta pemimpin dan peneraju pemerintahan negara. Oleh yang demikian, tiada alasan bagi guru di zaman teknologi maklumat dan komunikasi kini untuk tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab malahan sering kali memberi pelbagai alasan apabila di arahkan bertugas ke kawasan terpencil dan pedalaman.

Dalam proses tranformasi kurikulum, peranan guru kian mencabar. Oleh itu, guru seharusnya meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang khususnya teknologi maklumat dan komunikasi. Dengan cara ini guru akan dapat mengajar dengan lebih yakin dan profesional sehingga disenangi oleh murid. Peningkatan taraf akademik diri juga sepatutnya dapat memahatkan keazaman untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anak didik seterusnya mampu mengangkat martabat profesion keguruan dari sudut pandangan masyarakat.

RUMUSAN
Oleh itu, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Maka, warga guru setuntasnya wajar dan wajib memanfaatkan kepakaran dan ilmu masing-masing untuk membina modal insan dalam pelbagai disiplin dan dimensi demi memenuhi untutan zaman global masa kini. Seterusnya, mampu mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan disamping melahirkan pemikir tersohor sebagai pemimpin yang berwibawa dengan kecelikan akal budi demi kegemilangan negara Malaysia di pentas dunia.
         
Pendidikan Agama Membentuk Sahsiah
Cergas Dan Berdaya Saing
Kecemerlangan Dalam Pendidikan