BANNER

Isnin, 5 Disember 2011

AKHIRNYA TIRAI PPSMI DILABUHKAN

Mulai 2012, keputusan muktamad memansuhkan PPSMI diambil dan tiada kompromi lagi untuk melanjutkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang mula diperkenalkan sejak tahun 2003 lalu, maka kini dikembalikan semula ke dalam bahasa Melayu. Rentetan keputusan itu telah memberikan pelbagai reaksi yang berbeza. Bagi pejuang bahasa Melayu, ibu bapa dan pihak tertentu, keputusan tersebut disambut dengan perasaan lega dan gembira kerana situasi ini dapat mengelakkan implikasi yang lebih buruk menimpa murid dan guru yang sebilangan besarnya masih belum menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Selain itu, ianya dapat mengembalikan semula martabat bahasa Melayu serta mempertautkan pengukuhan perpaduan di negara ini.



Beberapa kajian yang dilakukan oleh pihak cendikiawan dan pakar bahasa dianggap sesuai selepas tempoh percubaan selama lapan tahun memberi banyak petunjuk bahawa wujudnya kegagalan dari segi objektif dan pelaburan pendidikan untuk tempoh jangka panjang. Antaranya, dapatan hasil kajian daripada Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama lapan universiti tempatan, menutup tirai perdebatan dengan merumuskan pelaksanaannya mampu menimbulkan petaka berganda (double jeopardy) kepada murid terutamanya. Kajian membabitkan 160 buah sekolah iaitu 70 buah sekolah menengah yang melibatkan pelajar Tingkatan 4 Sains dan Sastera serta sekolah rendah pula melibatkan murid Tahun 5 di seluruh negara.


Menurut kenyataan Pensyarah Pendidikan Melayu Universiti Putra Malaysia(UPM), Prof Dr Mohad Sahandri Gani Hamzah yang juga mengetuai kajian PPSMI daripada PEMBINA berkata, sekiranya PPSMI ini terus dilaksanakan, nescaya ia akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid untuk terus mempelajari dan mendalami ilmu Sains dan Matematik bermula di peringkat sekolah rendah lagi. Kajian keseluruhan juga mendapati PPSMI tidak memberi manfaat kepada murid Melayu, khususnya murid Melayu dan Bumiputera. 


      Berpandukan kajian yang dijalankan mendapati hanya 54.4 peratus sahaja  murid Melayu dan Bumiputera terutama sekali yang di luar bandar, pinggir bandar dan kawasan pedalaman mencapai tahap penguasaan dalam PPSMI. Manakala murid yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) pula cuma 55 peratus. Guru yang menyampaikan pengajaran dalam bahasa Inggeris hanya 60 peratus dan guru yang tidak layak mengajar dalam bahasa Inggeris tetapi masih meneruskannya didapati mencecah sehingga 38.2 peratus.


Berdasarkan kajian selanjutnya mendapati, sampel terhadap keputusan peperiksaan ke atas 1,942 murid tahun 5, kohort 2 (2004) dari 65 sekolah rendah seluruh negara menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot sesetengahnya pula turun merundum apabila naik ke darjah yang lebih tinggi. Ternyata kemerosotan itu adalah berpunca daripada murid yang kurang menunjukkan kesungguhan kerana tidak berupaya memahami dan mengikuti pelajaran dan konsep yang diajar oleh guru dalam bahasa Inggeris.


Sebab lain murid tidak meningkat adalah gagal dalam berkomunikasi dan berinteraksi secara berkesan dengan guru. Murid rasa tidak yakin untuk bertanya guru manakala guru pula berasa tidak selesa mengajar dalam bahasa yang jarang-jarang mereka gunakan. Oleh yang demikian, dikhuatiri matlamat Wawasan 2020 untuk melahirkan modal insan dan cerdik pandai dari kalangan Melayu dan Bumiputera akan lenyap dan hanya mampu menjadi pekerja sokongan sahaja kerana faktor gagal subjek Sains dan Matematik.


Harapan negara untuk melahirkan tenaga mahir dalam bidang sains dan teknologi juga akan terjejas berpandukan statistik yang kurang memberangsangkan. Matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mencapai sasaran nisbah Sains dan Sastera ialah 60:40 mungkin tidak akan terlaksana, sedangkan sehingga 2009 dianggarkan nisbahnya cuma sekadar 44:56 sahaja. 


Pada masa yang sama, guru-guru juga didapati tidak berdaya maju dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dalam bahasa Inggeris yang mana dilihat seakan mengundur ke belakang, kekok, hambar, janggal, kurang menarik dan kurang yakin dalam penyampaian pedagogi. Walaupun guru subjek Sains dan Matematik mendapat bimbingan dari guru bahasa Inggeris, namun keberkesanannnya boleh dipertikaikan. Kajian di peringkat pengurusan PPSMI hanya menyumbang dalam aspek bertanyakan masalah tatabahasa dan sekadar menggerakkan aktiviti panitia dalam melakukan pemantauan ke atas guru PPSMI semata-mata.

Kita sepatutnya tidak gusar dengan keupayaan bahasa Melayu dalam mengejar arus kemajuan globalisasi sekarang. Malah, kita harus meniru apa yang diamalkan oleh negara China, Korea dan Jepun kerana mereka tetap menjadi sebuah negara maju yang menonjol di sebelah negara timur di peringkat antarabangsa, walaupun rakyatnya tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Sebaliknya mereka mempunyai sifat kerajinan, kreatif dan inovatif yang mampu melonjakkan negara mereka seiring kepesatan negara barat yang diiktiraf sebagai teraju perkembangan sains dan teknologi. 

                                                                        

          
 
Dengan berlabuhnya tirai PPSMI, Kementerian Pelajaran telah bersedia dengan langkah lebih awal memperkenalkan dasar baru iaitu Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dilaksanakan bermula 2011 sempena pemansuhan PPSMI 2012. Diharapkan dengan pemansuhan PPSMI ini, usaha untuk memastikan pencapaian yang seimbang bagi kedua-dua subjek teras Sains dan Matematik dapat dipergiatkan. Di samping itu usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dapat dipertingkat tanpa menidakkan kepentingan bahasa Inggeris. Oleh yang demikian perancangan yang telah diatur dan disusun dengan teliti oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memperkasakan bahasa Inggeris dijangka dapat direalisasikan  sejajar dengan kepentingannya di peringkat global.