BANNER

Selasa, 20 Disember 2011

LITERASI DAN NUMERASI - LINUS

TUJUAN PROGRAM LINUS

Untuk makluman, mulai tahun 2010, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) untuk murid tahun satu. Program ini bertujuan mengembangkan kemahiran asas dalam literasi dan numerasi kepada murid di peringkat awal persekolahan lagi.
Program LINUS merupakan salah satu daripada National Key Result Areas (NKRA’s) KPM yang bertujuan untuk menangani masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid Tahun 1 selama 3 tahun sebelum mereka melangkah ke Tahun 4.


Saringan LINUS telah dijalankan pada bulan Februari dan Mac 2010, bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan asas literasi dan numerasi dalam kalangan murid Tahun 1 dan saringan ini bukan merupakan ujian.


Saringan Literasi dijalankan bagi mengenal pasti keupayaan murid dalam mengenal abjad, suku kata, perkataan dan ayat tunggal. Saringan Numerasi pula dijalankan bagi menyaring keupayaan murid dalam mengendalikan operasi tambah dan tolak, mengenal mata wang, ukuran relatif dan waktu malam atau siang.


Untuk memastikan keberkesanan program LINUS di sekolah, KPM telah melatih guru dan fasilitator LINUS dalam membantu murid menguasai asas literasi dan numerasi. Turut disediakan ialah modul pengajaran guru dan modul pembelajaran murid. KPM juga telah menambah baik instrumen Saringan LINUS dengan mengambil kira pandangan dan saranan daripada pihak sekolah dan pihak awam.
Dengan adanya program LINUS, masalah murid yang lemah di dalam empat mata pelajaran iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dapat diatasi. Saringan LINUS bukanlah bertujuan untuk menilai dan menguji kebolehan murid tetapi lebih kepada mengenal pasti sejauh mana murid sama ada mereka menghadapi masalah celik huruf dan celik nombor ataupun sebaliknya. Berdasarkan dapatan saringan tersebut para guru boleh merancang pembelajaran yang lebih elektif bagi memastikan kaedah atau pendekatan tertentu bagi membantu murid yang berkemungkinan menghadapi masalah tersebut.

KETAHUI KONSEP LINUS LITERASI
 
LINUS - KONSEP LITERASI


INSTRUMEN LITERASI MENULIS DAN MEMBACA







RANCANGAN TAHUNAN LITERASI TAHUN 1

( PROGRAM LINUS ) TAHUN 1

                             KOD                                      KEMAHIRAN
                       1.0                  MEMBACA DAN MENULIS HURUF
                                    1.1     Mengenal bentuk huruf dan menulis  huruf kecil a – z
                                    1.2     Mengenal bentuk huruf dan menulis  huruf besar A – Z

2.0                 MEMBACA SUKU KATA
2.1     Membaca dan membunyikan suku kata terbuka KV
2.2     Membaca dan membunyikan suku kata tertutup KVK
2.3    Membaca dan membunyikan suku kata tertutup KVKK
2.4    Membaca dan membunyikan suku kata tertutup yang ada digraf ng, ny, dan sy

3.0                 MEMBINA DAN MENULIS SUKU KATA
3.1     Membina dan menulis suku kata terbuka KV
3.2     Membina dan menulis  suku kata tertutup KVK
3.3     Membina dan menulis  suku kata tertutup KVKK
3.4     Membina dan menulis  suku kata tertutup yang ada digraf ng, ny, dan sy .

4.0                 MEMBACA PERKATAAN
4.1     Membaca perkataan mengandungi suku kata terbuka KV+KV
4.2     Membaca perkataan mengandungi suku kata terbuka V+KV
4.3     Membaca perkataan mengandungi suku kata terbuka KV+KV+KV
4.4     Membaca perkataan mengandungi suku kata terbuka KVK+KV
4.5     Membaca perkataan mengandungi suku kata terbuka KVKK+KV
4.6     Membaca perkataan yang mengandungi suku kata terbuka VKV
4.7     Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup  KVK
4.8     Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup KV+KVK
4.9     Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup KVK+KVK
4.10   Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup KVK+KVKK
4.11   Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup  KVKK
4.12   Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup V+KVK
4.13   Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup V+KVKK
4.14   Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup KVKK+KVKK
4.15   Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup VK+KVKK
4.16   Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup VK+KVK
4.17   Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup KVKK+KVK
4.18   Membaca perkataan yang mengandungi suku kata tertutup  KV+KVKK
4.19   Membaca perkataan yang mengandungi diftong
4.20   Membaca perkataan yang mengandungi digraf
4.21   Membaca perkataan yang mengandungi vokal berganding
4.22   Membaca perkataan yang mengandungi konsonan bergabung
4.23   Membaca perkataan yang mengandungi kata imbuhan

5.0                 MEMBINA DAN MENULIS PERKATAAN
5.1     Membina dan menulis perkataan mengandungi suku kata terbuka KV+KV
5.2     Membina dan menulis perkataan mengandungi suku kata terbuka V+KV
5.3     Membina dan menulis perkataan mengandungi suku kata terbuka KV+KV+KV
5.4     Membina dan menulis  perkataan mengandungi suku kata terbuka KVK+KV
5.5     Membina dan menulis perkataan mengandungi suku kata terbuka KVKK+KV
5.6     Membina dan Menulis perkataan mengandungi suku kata terbuka KV+KV
5.7     Membina dan Menulis perkataan mengandungi suku kata terbuka V+KV
5.8     Membina dan menulis perkataan mengandungi suku kata terbuka KV+KV+KV
5.9     Membina dan menulis  perkataan mengandungi suku kata terbuka KVK+KV
5.10   Membina dan menulis perkataan mengandungi suku kata terbuka KVKK+KV
5.11   Membina dan menulis  perkataan yang mengandungi suku kata tertutup  KVKK
5.12   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup V+KVK
5.13   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup KVK+KVKK
5.14   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup V+KVKK
5.15   Membina dan menulis  perkataan yang mengandungi suku kata tertutup KVKK+KVKK
5.16   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup VK+KVKK
5.17   Membina dan menulis  perkataan yang mengandungi suku kata tertutup VK+KVK
5.18   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup KVKK+KVK
5.19   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup  KV+KVKK
5.20   Membina dan menulis  perkataan yang mengandungi diftong
5.21   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi digraf
5.22   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi vokal berganding
5.23   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi konsonan bergabung
5.24   Membina dan menulis perkataan yang mengandungi kata imbuhan

6.0                 MEMBACA RANGKAI KATA
6.1     Membaca rangkai kata

7.0                 MEMBINA DAN MENULIS RANGKAI KATA
7.1     Membina dan menulis rangkai kata

8.0                 MEMBACA AYAT
8.1     Membaca ayat tunggal
8.2     Memahami ayat tunggal yang dibaca

9.0                 MEMBINA DAN MENULIS AYAT TUNGGAL
9.1     Membina ayat tunggal berdasarkan pola ayat dasar
                (FN+FN, FN+FK, FN+FA, FN+FS)
9.2     Menulis ayat tunggal




CONTOH AKTIVITI

Membaca dan menulis perkataan yang mengandungi digraf dan konsonan bergabung.

 
A.   Baca suku kata di bawah
    nga  nge  ngi  ngo  ngu
    kha   khe  khi   kho  khu
    sya   sye    syi   syo   syu
   gha  ghe  ghi  gho  ghu
   nya  nye   nyi   nyo  nyu


B.  Baca perkataan di bawah. 

      nyonya    nyamuk   nyiru    nyenyak    nyanyi
        nyala      punya      sunyi     nyata        penyu
       syiling      syurga      syair        syor         syawal
       lengan     angin     telinga    nganga    bunga
       khatib    khabar    khazanah   khutbah   khusyuk
       klinik     khemah    ghazal      ghaib       



Isnin, 5 Disember 2011

AKHIRNYA TIRAI PPSMI DILABUHKAN

Mulai 2012, keputusan muktamad memansuhkan PPSMI diambil dan tiada kompromi lagi untuk melanjutkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang mula diperkenalkan sejak tahun 2003 lalu, maka kini dikembalikan semula ke dalam bahasa Melayu. Rentetan keputusan itu telah memberikan pelbagai reaksi yang berbeza. Bagi pejuang bahasa Melayu, ibu bapa dan pihak tertentu, keputusan tersebut disambut dengan perasaan lega dan gembira kerana situasi ini dapat mengelakkan implikasi yang lebih buruk menimpa murid dan guru yang sebilangan besarnya masih belum menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Selain itu, ianya dapat mengembalikan semula martabat bahasa Melayu serta mempertautkan pengukuhan perpaduan di negara ini.



Beberapa kajian yang dilakukan oleh pihak cendikiawan dan pakar bahasa dianggap sesuai selepas tempoh percubaan selama lapan tahun memberi banyak petunjuk bahawa wujudnya kegagalan dari segi objektif dan pelaburan pendidikan untuk tempoh jangka panjang. Antaranya, dapatan hasil kajian daripada Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama lapan universiti tempatan, menutup tirai perdebatan dengan merumuskan pelaksanaannya mampu menimbulkan petaka berganda (double jeopardy) kepada murid terutamanya. Kajian membabitkan 160 buah sekolah iaitu 70 buah sekolah menengah yang melibatkan pelajar Tingkatan 4 Sains dan Sastera serta sekolah rendah pula melibatkan murid Tahun 5 di seluruh negara.


Menurut kenyataan Pensyarah Pendidikan Melayu Universiti Putra Malaysia(UPM), Prof Dr Mohad Sahandri Gani Hamzah yang juga mengetuai kajian PPSMI daripada PEMBINA berkata, sekiranya PPSMI ini terus dilaksanakan, nescaya ia akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid untuk terus mempelajari dan mendalami ilmu Sains dan Matematik bermula di peringkat sekolah rendah lagi. Kajian keseluruhan juga mendapati PPSMI tidak memberi manfaat kepada murid Melayu, khususnya murid Melayu dan Bumiputera. 


      Berpandukan kajian yang dijalankan mendapati hanya 54.4 peratus sahaja  murid Melayu dan Bumiputera terutama sekali yang di luar bandar, pinggir bandar dan kawasan pedalaman mencapai tahap penguasaan dalam PPSMI. Manakala murid yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) pula cuma 55 peratus. Guru yang menyampaikan pengajaran dalam bahasa Inggeris hanya 60 peratus dan guru yang tidak layak mengajar dalam bahasa Inggeris tetapi masih meneruskannya didapati mencecah sehingga 38.2 peratus.


Berdasarkan kajian selanjutnya mendapati, sampel terhadap keputusan peperiksaan ke atas 1,942 murid tahun 5, kohort 2 (2004) dari 65 sekolah rendah seluruh negara menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot sesetengahnya pula turun merundum apabila naik ke darjah yang lebih tinggi. Ternyata kemerosotan itu adalah berpunca daripada murid yang kurang menunjukkan kesungguhan kerana tidak berupaya memahami dan mengikuti pelajaran dan konsep yang diajar oleh guru dalam bahasa Inggeris.


Sebab lain murid tidak meningkat adalah gagal dalam berkomunikasi dan berinteraksi secara berkesan dengan guru. Murid rasa tidak yakin untuk bertanya guru manakala guru pula berasa tidak selesa mengajar dalam bahasa yang jarang-jarang mereka gunakan. Oleh yang demikian, dikhuatiri matlamat Wawasan 2020 untuk melahirkan modal insan dan cerdik pandai dari kalangan Melayu dan Bumiputera akan lenyap dan hanya mampu menjadi pekerja sokongan sahaja kerana faktor gagal subjek Sains dan Matematik.


Harapan negara untuk melahirkan tenaga mahir dalam bidang sains dan teknologi juga akan terjejas berpandukan statistik yang kurang memberangsangkan. Matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mencapai sasaran nisbah Sains dan Sastera ialah 60:40 mungkin tidak akan terlaksana, sedangkan sehingga 2009 dianggarkan nisbahnya cuma sekadar 44:56 sahaja. 


Pada masa yang sama, guru-guru juga didapati tidak berdaya maju dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dalam bahasa Inggeris yang mana dilihat seakan mengundur ke belakang, kekok, hambar, janggal, kurang menarik dan kurang yakin dalam penyampaian pedagogi. Walaupun guru subjek Sains dan Matematik mendapat bimbingan dari guru bahasa Inggeris, namun keberkesanannnya boleh dipertikaikan. Kajian di peringkat pengurusan PPSMI hanya menyumbang dalam aspek bertanyakan masalah tatabahasa dan sekadar menggerakkan aktiviti panitia dalam melakukan pemantauan ke atas guru PPSMI semata-mata.

Kita sepatutnya tidak gusar dengan keupayaan bahasa Melayu dalam mengejar arus kemajuan globalisasi sekarang. Malah, kita harus meniru apa yang diamalkan oleh negara China, Korea dan Jepun kerana mereka tetap menjadi sebuah negara maju yang menonjol di sebelah negara timur di peringkat antarabangsa, walaupun rakyatnya tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Sebaliknya mereka mempunyai sifat kerajinan, kreatif dan inovatif yang mampu melonjakkan negara mereka seiring kepesatan negara barat yang diiktiraf sebagai teraju perkembangan sains dan teknologi. 

                                                                        

          
 
Dengan berlabuhnya tirai PPSMI, Kementerian Pelajaran telah bersedia dengan langkah lebih awal memperkenalkan dasar baru iaitu Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dilaksanakan bermula 2011 sempena pemansuhan PPSMI 2012. Diharapkan dengan pemansuhan PPSMI ini, usaha untuk memastikan pencapaian yang seimbang bagi kedua-dua subjek teras Sains dan Matematik dapat dipergiatkan. Di samping itu usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dapat dipertingkat tanpa menidakkan kepentingan bahasa Inggeris. Oleh yang demikian perancangan yang telah diatur dan disusun dengan teliti oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memperkasakan bahasa Inggeris dijangka dapat direalisasikan  sejajar dengan kepentingannya di peringkat global.

          
         


          


            
       
           

Sabtu, 3 Disember 2011

GURU PEMBINA MODAL INSAN


Definisi
Merujuk kepada Kamus Dewan, modal diertikan sebagai kiasan sesuatu yang digunakan untuk mencapai atau mendapatkan sesuatu yang lain; manakala insan ialah perkataan Arab  bererti manusia. Maka, modal insan merupakan potensi, kemahiran atau tenaga manusia yang digunakan untuk mencapai matlamat pembangunan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara. 

Konsep Modal Insan
Mengikut Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, mencatatkan dalam usaha membangunkan modal insan, Kementerian Kerajaan Malaysia akan memberi tumpuan kepada sistem nilai seperti, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri murid. Di samping itu, usaha ini juga diharap melahirkan murid yang kompeten dalam sains dan berdaya kreatif serta kebolehan pasaran.
             
Di bawah usaha pembangunan modal insan, penekanan adalah ditumpukan dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual seperti ilmu sains, teknologi dan keusahawanan, pembudayaan, sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral seperti  yang ditegaskan di bawah   Wawasan 2020, dalam cabaran keempat, iaitu;
"Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan  dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur."

Di antara lima teras utama  yang digariskan di bawah Misi Nasional adalah teras 2 yang memberi penekanan tinggi ke atas pembangunan modal insan minda kelas pertama yang berupaya memberi sumbangan dalam usaha melonjak ke status negara maju menjelang tahun 2020. Melalui strategi khusus pembangunan modal insan ini, Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang bersatu padu, masyarakat yang mempunyai daya keyakinan yang tinggi, bertunjangkan nilai-nilai moral yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat  yang demokratis, liberal lagi bertolak- ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur, dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan diri yang jitu.

Transformasi Kurikulum Kebangsaan
Kementerian Pelajaran kini sedang giat melaksanakan transformasi kurikulum kebangsaan yang menuntut guru menyesuaikan diri dengan perubahan dalam sistem pembelajaran. Oleh itu, guru-guru perlu terlibat secara langsung dalam program pembangunan profesional anjuran pelbagai pihak dari semasa ke semasa termasuklah Kementerian Pelajaran sendiri, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat pelajaran Daerah, institusi , sekolah dan badan profesional yang diiktiraf. Bermula tahun 2011, PPSMI dimansuhkan dan diganti dengan dasar baru yang digubal iaitu MBMMBI,  di mana mata pelajaran Matematik dan Sains diajar semula dalam bahasa Melayu manakala penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran bagi bahasa Inggeris.

Transformasi kurikulum kebangsaan adalah berhubung kait dengan pembinaan modal insan negara yang mana tertanggung di atas bahu pendidik. Maksudnya, guru itu berinteraksi secara bertimbal balik dengan kelahiran insan yang berilmu, berkualiti dan berketrampilan dalam apa-apa bidang sekalipun demi pembangunan bangsa dan negara secara berkesinambungan mulai sekarang. Memang bertepatan apabila Kementerian Pelajaran memperketatkan syarat kemasukan calon-calon guru ke institut perguruan atau fakulti pendidikan di institusi pengajian tinggi awam. Rasionalnya, bakal pendidik mestilah  mencapai  keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Sejarah berlandaskan kepada kemampuan berbahasa dengan gramatis lagi murni dalam kedua-dua bahasa tersebut di samping celik sejarah.
           
Peranan Guru
Modal insan lebih bermakna dan signifikan berbanding dengan elemen-elemen yang lain seperti modal wang ringgit, bahan mentah, pentadbiran dan pengurusan dalam industri pengeluaran produk. Biasanya modal insan lebih dikenali sebagai kaum buruh, manifestasi daripada kelulusan yang rendah dan kemahiran mereka yang relatif tidak seberapa.  Dalam teknologi maklumat dan komunikasi masa kini, situasi buruh sedemikian tidak lagi sesuai dan relevan, malah mereka digalakkan meningkatkan ilmu pengetahuan, sekali gus berkemahiran dan berketrampilan berpadanan dengan aras ke piawaian yang telah ditetapkan. Dalam konteks ini, peranan guru amat mencabar untuk melahirkan insan yang berilmu serta berkemahiran sebagai modal bagi meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara dalam pelbagai cabang pekerjaan.

Sehubungan dengan itu, insan yang bergelar guru adalah melengkapi segala-galanya baik sebagai pendidik, pengasuh, pembimbing, penasihat, pencetus idea dan fikiran, penderma wang ringgit serta penyumbang tenaga dan masa. Guru juga merupakan ibu bapa kepada murid-murid di sekolah, pemimpin dan penggerak kelompok komuniti setempat, agama, bangsa dan negara. Guru persis sepohon kelapa yang tinggi menjulang dengan buah yang penuh di tandan, berguna dari pucuk hingga ke pangkal . Di dalam agama Islam turut mengangkat darjat guru pada kedudukan yang tinggi dan istimewa selepas ibu dan bapa malah mengajar penganutnya supaya memuliakan guru sebagaimana dalam Hadits Nabi SAW ada menyebutkan bahawa; "Tinta seorang ilmuwan (yang menjadi guru) adalah lebih berharga berbanding darah para syuhada". Selanjutnya Imam Al-Ghazali menukilkan dari perkataan para ulama yang menyatakan; 

"Pendidik merupakan pelita segala zaman, orang yang hidup semasa dengannya akan memperoleh pancaran cahaya keilmiahannya. Andai kata dunia tidak ada pendidik, nescaya manusia bertingkah laku seumpama haiwan, disebabkan adanya  ilmu, maka ianya berupaya menghindari manusia dari sifat kehaiwanan kepada sifat insaniah dan ilahiah".

Tugas hakiki guru adalah mendidik murid menjadi insan yang berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan negara. Guru masa lampau dalam suasana pembelajaran yang serba kekurangan dan tidak kondusif masih berupaya memikul tanggungjawab dengan penuh komited terhadap kewajipan mendidik sehingga melahirkan generasi masa kini yang cemerlang, hatta pemimpin dan peneraju pemerintahan negara. Oleh yang demikian, tiada alasan bagi guru di zaman teknologi maklumat dan komunikasi kini untuk tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab malahan sering kali memberi pelbagai alasan apabila di arahkan bertugas ke kawasan terpencil dan pedalaman.

Dalam proses tranformasi kurikulum, peranan guru kian mencabar. Oleh itu, guru seharusnya meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang khususnya teknologi maklumat dan komunikasi. Dengan cara ini guru akan dapat mengajar dengan lebih yakin dan profesional sehingga disenangi oleh murid. Peningkatan taraf akademik diri juga sepatutnya dapat memahatkan keazaman untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anak didik seterusnya mampu mengangkat martabat profesion keguruan dari sudut pandangan masyarakat.

RUMUSAN
Oleh itu, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Maka, warga guru setuntasnya wajar dan wajib memanfaatkan kepakaran dan ilmu masing-masing untuk membina modal insan dalam pelbagai disiplin dan dimensi demi memenuhi untutan zaman global masa kini. Seterusnya, mampu mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan disamping melahirkan pemikir tersohor sebagai pemimpin yang berwibawa dengan kecelikan akal budi demi kegemilangan negara Malaysia di pentas dunia.
         
Pendidikan Agama Membentuk Sahsiah
Cergas Dan Berdaya Saing
Kecemerlangan Dalam Pendidikan






               


Jumaat, 2 Disember 2011

GURU SEBAGAI AGEN PERUBAHAN

Bidang pendidikan di negara ini terus berkembang menuju ke era kecemerlangan. Dengan keadaan sedemikian, warga guru harus memainkan peranan aktif sebagai agen dan pemudah cara untuk mencapai setiap impian murni yang termaktub dalam wawasan pendidikan negara. Maka, sesuai dengan harapan yang dikehendaki, warga guru perlu sentiasa memperbaharui semangat dan iltizam pada setiap masa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih efisien dan dinamik.

       Kepesatan pembangunan negara dan globalisasi menjadikan tanggungjawab guru semakin mencabar dan memerlukan kekuatan serta jati diri yang utuh. Oleh itu, setiap warga guru harus bijak mengintegrasikan sahsiah diri yang  terpuji dan ketinggian ilmu pengetahuan bagi pembentukan akhlak yang mulia dalam memajukan masyarakat negara ini. Masyarakat hari ini telah banyak berubah berbeza pada masa dahulu dari segi keperluan hidup dan pencapaian dalam pendidikan. Perubahan tersebut memang tidak dapat dielakkan jesteru. Guru yang berkesan bukan sahaja menyampaikan ilmu malah dapat menyesuaikan diri dengan arus kemajuan dalam dunia pendidikan. Guru berperanan sebagai agen perubahan dan perlu bersedia dengan kritikan dan tekanan daripada masyarakat yang tidak secara langsung membantu meningkatkan martabat profesion keguruan. 

       Sehubungan dengan itu, guru perlu berfungsi sebagai 'Change-Master Leader' yang mana menurut Rosabeth Moss Kanter, aspek tersebut mampu menggenggam masa hadapan. Dalam hal ini, guru mestilah berfikiran jauh dan mempunyai sifat inovatif dan kreatif dalam pembelajaran dan pengajaran. Pelbagai strategi, teknik, kaedah dan pendekatan yang digunakan haruslah diperkemas dan disesuaikan dengan corak pembelajaran masa kini. Penggunaan bahan-bahan pengajaran juga harus mampu merangsang minda para pelajar bagi mempercepatkan proses penerimaan pembelajaran. Sejajar dengan peredaran masa, pelajar hari ini memiliki pengalaman dan kemahiran yang jauh berbeza berbanding pelajar sepuluh tahun lalu. Pelajar kini lebih terdedah kepada pelbagai maklumat melalui kemajuan ICT dan media massa.

     Guru yang bersifat dinamik adalah guru yang sentiasa responsif dan berupaya menyesuaikan diri bagi menghadapi perubahan-perubahan dari semasa ke semasa. Hanya guru yang bersifat dinamik sahaja mampu menangani cabaran-cabaran yang sering timbul. Guru yang dinamik berkebolehan memainkan peranannya dengan berkesan demi memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara. Guru adalah sebagai agen perubahan yang membentuk dan melahirkan generasi yang akan datang adalah bertanggungjawab dalam merealisasikan cita-cita dan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020.

        

         

  

MASALAH PONTENG SEKOLAH


Setiap tahun lebih 20,000 kes pelbagai kesalahan disiplin dilaporkan yang membabitkan pelajar di seluruh negara. Laporan menunjukkan kes ponteng sekolah dikenal pasti sebagai masalah disiplin yang paling tinggi dicatatkan dan sekali gus ia dianggap sebagai punca segala masalah penurunan mutu disiplin pelajar secara keseluruhannya.

        Bagi Kementerian Pelajaran, masalah disiplin pelajar tidak berada pada tahap  yang membimbangkan tetapi disebabkan perhatian masyarakat terhadap sesetengah kes yang mendapat liputan media massa maka masalah tersebut seakan amat serius. Ibu bapa dan masyarakat berasa gusar dengan situasi ini dan berasa pihak kementerian perlu mengambil tindakan segera sebelum ianya menjadi ikutan pelajar-pelajar lain.

        Walau bagaimanapun, isu disiplin pelajar tetap menjadi isu paling utama yang diberi perhatian kerana ia menjadi tunjang dalam menentukan prestasi cemerlang pelajar. Sekolah adalah merupakan institusi pendidikan yang berperanan sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan pembentukan akhlak pelajar, sewajarnya menjadi permis yang terbaik dalam melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum malah turut mampu membangunkan sahsiah mulia, peribadi dan personaliti yang unggul.

       Masalah ponteng sekolah walaupun dipandang remeh, tetapi ia adalah punca bagi semua permasalahan yang timbul. Tindakan dan jalan penyelesaian harus difikirkan segera kerana jika dibiarkan gejala disiplin lain yang lebih parah akan wujud. Contohnya, apabila pelajar ponteng sekolah mereka akan mula melepak dan bercampur gaul dengan pihak luar yang tidak bermoral. Kegiatan seperti merokok, berjudi, berpeleseran di pusat siber dan sebagainya boleh mengundang perkara-perkara yang tidak diingini. Ada kes yang lebih teruk misalnya gangsterisme, bergaduh sampai mati, meragut, kena pukul, bohsia dan mencuri adalah beberapa kes yang berlaku berpunca dari masalah ponteng sekolah.

         Berdasarkan kebanyakan kes, masalah ponteng sekolah berlaku di kawasan pinggir dan luar bandar berbanding bandar besar yang menunjukkan bilangan kes yang sedikit. Ini disebabkan pelajar di pinggir dan luar bandar hadir ke sekolah menaiki bas dan itu membuka peluang dan ruang yang sangat luas kepada pelajar untuk ponteng sekolah. Berbeza di bandar, sebilangan besar pelajar dihantar oleh ibu bapa. Mentaliti ibu bapa di bandar juga lebih profesional dan berpendidikan menjadikan tahap kesedaran lebih tinggi untuk menjaga kebajikan anak termasuk sentiasa memastikan anak mereka ke sekolah.

         Bagi mengatasi isu disiplin, Kementerian Pelajaran mewujudkan jawatan kuasa disiplin yang mana melibatkan semua guru dilantik sebagai guru disiplin bertujuan menguatkuasakan peraturan  termasuk melalui proses hearing (pembelaan diri) dan jika pelajar tersebut didapati salah, maka ibu bapa akan dipanggil dan dimaklumkan tentang jenis hukuman yang akan dikenakan ke atas anak mereka seperti rotan, gantung sekolah atau buang sekolah. Selain itu, program kaunseling turut dilaksanakan terhadap pelajar terbabit.

         Kementerian Pelajaran juga mempunyai sistem maklumat murid (SMM) yang berfungsi merekod dan menyimpan data yang berkaitan masalah disiplin pelajar termasuklah kes ponteng sekolah. Pihak sekolah tidak boleh menyembunyikan salah laku pelajarnya. Semua maklumat mesti telus dan jika sekolah didapati sengaja menyembunyikan fakta, maka tindakan akan diambil ke atas pentadbir iaitu pengetua atau guru besar sekolah. Antaranya tindakan yang boleh dikenakan ialah ditukarkan ke sekolah lain dan surat tunjuk sebab.

      Punca masalah ponteng sekolah berlaku disebabkan pelbagai faktor. Antaranya, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran, filem, video, diri pelajar sendiri, kurang didikan agama dan tiada pengawasan serta keperihatinan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Terdapat juga ibu bapa yang terlalu memanjakan anak dan percaya bahawa anak mereka boleh berdikari serta tiada masalah di sekolah. Ibu bapa kurang mengambil tahu aktiviti yang berlaku di sekolah dan menyerahkan sepenuhnya kepada guru dalam mendidik anak mereka. 

           Bagi mengekang isu ponteng sekolah ini, peranan dari ibu bapa dan masyarakat amat diharapkan. Ini bagi memastikan anak-anak mereka betul sampai ke sekolah dan masyarakat boleh menegur dan menghubungi ibu bapa pelajar atau pihak sekolah jika didapati mereka berkeliaran di luar pada waktu persekolahan. Oleh itu, kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah sangat penting dalam pembangunan sahsiah dan peningkatan prestasi pelajar dalam pelajaran.

         

PRASANGKA DAN DISKRIMINASI

Prasangka dan diskriminasi mempunyai konsep yang tersendiri. Walau bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai hubung kait yang rapat. Definisi prasangka ialah satu bentuk sifat negatif yang ditujukan kepada sesuatu kelompok. Definisi diskriminasi pula bermaksud tindakan tingkah laku negatif yang ditujukan kepada ahli kelompok tersebut.

Menurut Paplia dan Olds (1985), prasangka dan diskriminasi wujud di kalangan manusia. Kedua-duanya berlaku merentasi faktor bangsa atau kelompok etnik yang membawa kepada corak tingkah laku seperti perkauman, anti-semitisme, diskriminasi terhadap golongan tua, cacat, miskin, atau diskriminasi jantina serta mereka yang mengamalkan gaya hidup yang tidak popular atau disukai.

1. PRASANGKA
Manusia lebih baik daripada haiwan kerana manusia mempunyai kelebihan iaitu akal yang membolehkan mereka berfikir sama ada baik dan buruk setiap sesuatu. Kadang-kala manusia bertingkah laku lebih buruk daripada haiwan. Contohnya, kes buang anak yang berlaku dalam masyarakat dewasa ini. Sedangkan haiwan memahami erti kasih sayang terhadap zuriatnya. Apabila manusia tidak dapat memelihara kesaksamaan pemikiran sama ada menidakkan atau menyabitkan sesuatu, maka nyata ia cenderung kepada dirinya atau kelompoknya yang bersifat sekilas pandang dan tidak kepada ukuran sebenar. Perbuatan ini diikhtibarkan sebagai mengikut kehendak nafsu peribadi semata-mata dan bersandarkan kepada sangkaan yang menjadi faktor kehinaan dalam berfikir, seterusnya terbentuklah sikap prasangka. Dalam proses pembelajaran, prasangka dirujuk sebagai satu bentuk pemilihan persepsi yang negatif. Jelaslah bahawa prasangka memberi pengertian seseorang itu memandang serong atau menilai seseorang pada satu rangsangan sahaja tanpa ingin menilai dari sudut rangsangan lain.

2. DISKRIMINASI
Diskriminasi wujud dalam pelbagai cara. Pada situasi paling sederhana, tingkah laku diskriminasi dapat dihindari. Namun begitu, pada tahap yang melampau, diskriminasi boleh mengakibatkan pergaduhan atau penganiayaan suatu kelompok kepada kelompok yang lain. Diskriminasi boleh berlaku antara kelompok yang kaya kepada kelompok yang miskin atau kelompok yang berkuasa kepada kelompok yang lemah. Contohnya, keadaan yang berlaku di Tebing barat antara rakyat Palestin dengan negara Israel. Rakyat Palestin dinafikan hak mereka. Malahan Pertubuhan Bangsa Bersatu gagal untuk membantu rakyat Palestin bagi mendapatkan semula tanah air mereka. Sikap bangsa Arab juga menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat Palestin. Sikap tidak mahu bersatu dan mementingkan negara dan kaum sendiri menjadikan bangsa Arab lemah dan tidak mampu menghadapi negara Israel yang kecil itu.

Kesan diskriminasi juga pernah berlaku di negara kita, iaitu semasa di perintah oleh kerajaan Britain. Kesan dari dasar pecah dan perintah, rakyat dipisahkan mengikut kaum. Kaum Melayu dengan ekonomi pertanian, Cina dengan ekonomi perlombongan dan perdagangan dan India dengan ekonomi perladangan. Kini, kesan diskriminasi tersebut perbezaan ekonomi antara kaum masih ketara. Lantaran itu, kerajaan melancarkan dasar ekonomi baru yang mampu menjadikan kaum-kaum di Malaysia dapat hidup bersama, harmoni dan saling hormat-menghormati. Jika tidak, keadaan huru-hara seperti negara Indonesia akan berlaku di mana rakyat peribuminya tidak dapat bersaing dengan bangsa Cina Indonesia disebabkan diskriminasi antara golongan kaya dengan golongan miskin.

3. MENGURANGKAN PRASANGKA DAN DISKRIMINASI
Banyak cara dapat dilakukan bagi mengatasi masalah mengurangkan prasangka dan diskriminasi. Menurut Paplia dan Olds (1985), satu pendekatan yang dikenali sebagai teknik jigsaw dilakukan dalam bilik darjah yang terdiri daripada kanak-kanak berbilang bangsa dan keturunan. Pada peringkat kanak-kanaklah aktiviti dibangunkan agar mereka aktif berkomunikasi tanpa ada sikap prejudis sesama mereka. Cara ini dapat menghilangkan sikap kelompok antara kaum. Berdasarkan teknik tersebut kerajaan telah mewujudkan sekolah wawasan bertujuan membentuk perpaduan antara kaum di bawah satu bumbung sekolah.

Media massa turut memainkan peranan penting dalam memastikan tidak ada berita sensasi yang melibatkan pertikaian kaum dihebahkan kepada umum. Jika kawalan atau pemantauan ini longgar, peristiwa 13 Mei 1969 boleh berulang. Oleh yang demikian, media massa haruslah melaporkan hal-hal yang positif agar masyarakat dapat dipupuk dengan keyakinan dan kesaksamaan antara kaum. Maka, matlamat Perdana Menteri untuk melahirkan masyarakat 1Malaysia mampu direalisasikan.

4. PENUTUP
Di dalam kehidupan manusia, kadang-kala faktor berlainan keturunan, ekonomi, darjat, kekuasaan dan agama jika di salah anggap sehingga membawa kepada prasangka dan akhirnya berlaku diskriminasi kadang-kala boleh mengakibatkan kehancuran hidup seseorang, kelompok  dan bangsa. Sehingga kini dari jutaan tahun dahulu, manusia belum menemui satu formula pun yang betul-betul boleh menjamin prasangka dan diskriminasi dapat dilupuskan. Malahan, diskrimanisi menjadi lebih teruk dan kronik walaupun manusia dibekalkan akal fikiran dan ajaran agama yang menegah manusia berperilaku sedemikian. Ini kerana manusia sentiasa lupa dan lalai kepada amanah yang diberikan.