BANNER

Jumaat, 2 Disember 2011

GURU SEBAGAI AGEN PERUBAHAN

Bidang pendidikan di negara ini terus berkembang menuju ke era kecemerlangan. Dengan keadaan sedemikian, warga guru harus memainkan peranan aktif sebagai agen dan pemudah cara untuk mencapai setiap impian murni yang termaktub dalam wawasan pendidikan negara. Maka, sesuai dengan harapan yang dikehendaki, warga guru perlu sentiasa memperbaharui semangat dan iltizam pada setiap masa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih efisien dan dinamik.

       Kepesatan pembangunan negara dan globalisasi menjadikan tanggungjawab guru semakin mencabar dan memerlukan kekuatan serta jati diri yang utuh. Oleh itu, setiap warga guru harus bijak mengintegrasikan sahsiah diri yang  terpuji dan ketinggian ilmu pengetahuan bagi pembentukan akhlak yang mulia dalam memajukan masyarakat negara ini. Masyarakat hari ini telah banyak berubah berbeza pada masa dahulu dari segi keperluan hidup dan pencapaian dalam pendidikan. Perubahan tersebut memang tidak dapat dielakkan jesteru. Guru yang berkesan bukan sahaja menyampaikan ilmu malah dapat menyesuaikan diri dengan arus kemajuan dalam dunia pendidikan. Guru berperanan sebagai agen perubahan dan perlu bersedia dengan kritikan dan tekanan daripada masyarakat yang tidak secara langsung membantu meningkatkan martabat profesion keguruan. 

       Sehubungan dengan itu, guru perlu berfungsi sebagai 'Change-Master Leader' yang mana menurut Rosabeth Moss Kanter, aspek tersebut mampu menggenggam masa hadapan. Dalam hal ini, guru mestilah berfikiran jauh dan mempunyai sifat inovatif dan kreatif dalam pembelajaran dan pengajaran. Pelbagai strategi, teknik, kaedah dan pendekatan yang digunakan haruslah diperkemas dan disesuaikan dengan corak pembelajaran masa kini. Penggunaan bahan-bahan pengajaran juga harus mampu merangsang minda para pelajar bagi mempercepatkan proses penerimaan pembelajaran. Sejajar dengan peredaran masa, pelajar hari ini memiliki pengalaman dan kemahiran yang jauh berbeza berbanding pelajar sepuluh tahun lalu. Pelajar kini lebih terdedah kepada pelbagai maklumat melalui kemajuan ICT dan media massa.

     Guru yang bersifat dinamik adalah guru yang sentiasa responsif dan berupaya menyesuaikan diri bagi menghadapi perubahan-perubahan dari semasa ke semasa. Hanya guru yang bersifat dinamik sahaja mampu menangani cabaran-cabaran yang sering timbul. Guru yang dinamik berkebolehan memainkan peranannya dengan berkesan demi memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara. Guru adalah sebagai agen perubahan yang membentuk dan melahirkan generasi yang akan datang adalah bertanggungjawab dalam merealisasikan cita-cita dan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020.

        

         

  

Tiada ulasan: