BANNER

Jumaat, 2 Disember 2011

PRASANGKA DAN DISKRIMINASI

Prasangka dan diskriminasi mempunyai konsep yang tersendiri. Walau bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai hubung kait yang rapat. Definisi prasangka ialah satu bentuk sifat negatif yang ditujukan kepada sesuatu kelompok. Definisi diskriminasi pula bermaksud tindakan tingkah laku negatif yang ditujukan kepada ahli kelompok tersebut.

Menurut Paplia dan Olds (1985), prasangka dan diskriminasi wujud di kalangan manusia. Kedua-duanya berlaku merentasi faktor bangsa atau kelompok etnik yang membawa kepada corak tingkah laku seperti perkauman, anti-semitisme, diskriminasi terhadap golongan tua, cacat, miskin, atau diskriminasi jantina serta mereka yang mengamalkan gaya hidup yang tidak popular atau disukai.

1. PRASANGKA
Manusia lebih baik daripada haiwan kerana manusia mempunyai kelebihan iaitu akal yang membolehkan mereka berfikir sama ada baik dan buruk setiap sesuatu. Kadang-kala manusia bertingkah laku lebih buruk daripada haiwan. Contohnya, kes buang anak yang berlaku dalam masyarakat dewasa ini. Sedangkan haiwan memahami erti kasih sayang terhadap zuriatnya. Apabila manusia tidak dapat memelihara kesaksamaan pemikiran sama ada menidakkan atau menyabitkan sesuatu, maka nyata ia cenderung kepada dirinya atau kelompoknya yang bersifat sekilas pandang dan tidak kepada ukuran sebenar. Perbuatan ini diikhtibarkan sebagai mengikut kehendak nafsu peribadi semata-mata dan bersandarkan kepada sangkaan yang menjadi faktor kehinaan dalam berfikir, seterusnya terbentuklah sikap prasangka. Dalam proses pembelajaran, prasangka dirujuk sebagai satu bentuk pemilihan persepsi yang negatif. Jelaslah bahawa prasangka memberi pengertian seseorang itu memandang serong atau menilai seseorang pada satu rangsangan sahaja tanpa ingin menilai dari sudut rangsangan lain.

2. DISKRIMINASI
Diskriminasi wujud dalam pelbagai cara. Pada situasi paling sederhana, tingkah laku diskriminasi dapat dihindari. Namun begitu, pada tahap yang melampau, diskriminasi boleh mengakibatkan pergaduhan atau penganiayaan suatu kelompok kepada kelompok yang lain. Diskriminasi boleh berlaku antara kelompok yang kaya kepada kelompok yang miskin atau kelompok yang berkuasa kepada kelompok yang lemah. Contohnya, keadaan yang berlaku di Tebing barat antara rakyat Palestin dengan negara Israel. Rakyat Palestin dinafikan hak mereka. Malahan Pertubuhan Bangsa Bersatu gagal untuk membantu rakyat Palestin bagi mendapatkan semula tanah air mereka. Sikap bangsa Arab juga menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat Palestin. Sikap tidak mahu bersatu dan mementingkan negara dan kaum sendiri menjadikan bangsa Arab lemah dan tidak mampu menghadapi negara Israel yang kecil itu.

Kesan diskriminasi juga pernah berlaku di negara kita, iaitu semasa di perintah oleh kerajaan Britain. Kesan dari dasar pecah dan perintah, rakyat dipisahkan mengikut kaum. Kaum Melayu dengan ekonomi pertanian, Cina dengan ekonomi perlombongan dan perdagangan dan India dengan ekonomi perladangan. Kini, kesan diskriminasi tersebut perbezaan ekonomi antara kaum masih ketara. Lantaran itu, kerajaan melancarkan dasar ekonomi baru yang mampu menjadikan kaum-kaum di Malaysia dapat hidup bersama, harmoni dan saling hormat-menghormati. Jika tidak, keadaan huru-hara seperti negara Indonesia akan berlaku di mana rakyat peribuminya tidak dapat bersaing dengan bangsa Cina Indonesia disebabkan diskriminasi antara golongan kaya dengan golongan miskin.

3. MENGURANGKAN PRASANGKA DAN DISKRIMINASI
Banyak cara dapat dilakukan bagi mengatasi masalah mengurangkan prasangka dan diskriminasi. Menurut Paplia dan Olds (1985), satu pendekatan yang dikenali sebagai teknik jigsaw dilakukan dalam bilik darjah yang terdiri daripada kanak-kanak berbilang bangsa dan keturunan. Pada peringkat kanak-kanaklah aktiviti dibangunkan agar mereka aktif berkomunikasi tanpa ada sikap prejudis sesama mereka. Cara ini dapat menghilangkan sikap kelompok antara kaum. Berdasarkan teknik tersebut kerajaan telah mewujudkan sekolah wawasan bertujuan membentuk perpaduan antara kaum di bawah satu bumbung sekolah.

Media massa turut memainkan peranan penting dalam memastikan tidak ada berita sensasi yang melibatkan pertikaian kaum dihebahkan kepada umum. Jika kawalan atau pemantauan ini longgar, peristiwa 13 Mei 1969 boleh berulang. Oleh yang demikian, media massa haruslah melaporkan hal-hal yang positif agar masyarakat dapat dipupuk dengan keyakinan dan kesaksamaan antara kaum. Maka, matlamat Perdana Menteri untuk melahirkan masyarakat 1Malaysia mampu direalisasikan.

4. PENUTUP
Di dalam kehidupan manusia, kadang-kala faktor berlainan keturunan, ekonomi, darjat, kekuasaan dan agama jika di salah anggap sehingga membawa kepada prasangka dan akhirnya berlaku diskriminasi kadang-kala boleh mengakibatkan kehancuran hidup seseorang, kelompok  dan bangsa. Sehingga kini dari jutaan tahun dahulu, manusia belum menemui satu formula pun yang betul-betul boleh menjamin prasangka dan diskriminasi dapat dilupuskan. Malahan, diskrimanisi menjadi lebih teruk dan kronik walaupun manusia dibekalkan akal fikiran dan ajaran agama yang menegah manusia berperilaku sedemikian. Ini kerana manusia sentiasa lupa dan lalai kepada amanah yang diberikan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan