BANNER

Jumaat, 2 Disember 2011

MASALAH PONTENG SEKOLAH


Setiap tahun lebih 20,000 kes pelbagai kesalahan disiplin dilaporkan yang membabitkan pelajar di seluruh negara. Laporan menunjukkan kes ponteng sekolah dikenal pasti sebagai masalah disiplin yang paling tinggi dicatatkan dan sekali gus ia dianggap sebagai punca segala masalah penurunan mutu disiplin pelajar secara keseluruhannya.

        Bagi Kementerian Pelajaran, masalah disiplin pelajar tidak berada pada tahap  yang membimbangkan tetapi disebabkan perhatian masyarakat terhadap sesetengah kes yang mendapat liputan media massa maka masalah tersebut seakan amat serius. Ibu bapa dan masyarakat berasa gusar dengan situasi ini dan berasa pihak kementerian perlu mengambil tindakan segera sebelum ianya menjadi ikutan pelajar-pelajar lain.

        Walau bagaimanapun, isu disiplin pelajar tetap menjadi isu paling utama yang diberi perhatian kerana ia menjadi tunjang dalam menentukan prestasi cemerlang pelajar. Sekolah adalah merupakan institusi pendidikan yang berperanan sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan pembentukan akhlak pelajar, sewajarnya menjadi permis yang terbaik dalam melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum malah turut mampu membangunkan sahsiah mulia, peribadi dan personaliti yang unggul.

       Masalah ponteng sekolah walaupun dipandang remeh, tetapi ia adalah punca bagi semua permasalahan yang timbul. Tindakan dan jalan penyelesaian harus difikirkan segera kerana jika dibiarkan gejala disiplin lain yang lebih parah akan wujud. Contohnya, apabila pelajar ponteng sekolah mereka akan mula melepak dan bercampur gaul dengan pihak luar yang tidak bermoral. Kegiatan seperti merokok, berjudi, berpeleseran di pusat siber dan sebagainya boleh mengundang perkara-perkara yang tidak diingini. Ada kes yang lebih teruk misalnya gangsterisme, bergaduh sampai mati, meragut, kena pukul, bohsia dan mencuri adalah beberapa kes yang berlaku berpunca dari masalah ponteng sekolah.

         Berdasarkan kebanyakan kes, masalah ponteng sekolah berlaku di kawasan pinggir dan luar bandar berbanding bandar besar yang menunjukkan bilangan kes yang sedikit. Ini disebabkan pelajar di pinggir dan luar bandar hadir ke sekolah menaiki bas dan itu membuka peluang dan ruang yang sangat luas kepada pelajar untuk ponteng sekolah. Berbeza di bandar, sebilangan besar pelajar dihantar oleh ibu bapa. Mentaliti ibu bapa di bandar juga lebih profesional dan berpendidikan menjadikan tahap kesedaran lebih tinggi untuk menjaga kebajikan anak termasuk sentiasa memastikan anak mereka ke sekolah.

         Bagi mengatasi isu disiplin, Kementerian Pelajaran mewujudkan jawatan kuasa disiplin yang mana melibatkan semua guru dilantik sebagai guru disiplin bertujuan menguatkuasakan peraturan  termasuk melalui proses hearing (pembelaan diri) dan jika pelajar tersebut didapati salah, maka ibu bapa akan dipanggil dan dimaklumkan tentang jenis hukuman yang akan dikenakan ke atas anak mereka seperti rotan, gantung sekolah atau buang sekolah. Selain itu, program kaunseling turut dilaksanakan terhadap pelajar terbabit.

         Kementerian Pelajaran juga mempunyai sistem maklumat murid (SMM) yang berfungsi merekod dan menyimpan data yang berkaitan masalah disiplin pelajar termasuklah kes ponteng sekolah. Pihak sekolah tidak boleh menyembunyikan salah laku pelajarnya. Semua maklumat mesti telus dan jika sekolah didapati sengaja menyembunyikan fakta, maka tindakan akan diambil ke atas pentadbir iaitu pengetua atau guru besar sekolah. Antaranya tindakan yang boleh dikenakan ialah ditukarkan ke sekolah lain dan surat tunjuk sebab.

      Punca masalah ponteng sekolah berlaku disebabkan pelbagai faktor. Antaranya, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran, filem, video, diri pelajar sendiri, kurang didikan agama dan tiada pengawasan serta keperihatinan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Terdapat juga ibu bapa yang terlalu memanjakan anak dan percaya bahawa anak mereka boleh berdikari serta tiada masalah di sekolah. Ibu bapa kurang mengambil tahu aktiviti yang berlaku di sekolah dan menyerahkan sepenuhnya kepada guru dalam mendidik anak mereka. 

           Bagi mengekang isu ponteng sekolah ini, peranan dari ibu bapa dan masyarakat amat diharapkan. Ini bagi memastikan anak-anak mereka betul sampai ke sekolah dan masyarakat boleh menegur dan menghubungi ibu bapa pelajar atau pihak sekolah jika didapati mereka berkeliaran di luar pada waktu persekolahan. Oleh itu, kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah sangat penting dalam pembangunan sahsiah dan peningkatan prestasi pelajar dalam pelajaran.